MEMBANTU menghantar makanan tiga kali sehari kepada pesakit kanak-kanak dan penjaga mereka untuk makan tengah hari, minum petang serta makan malam.
PUSAT Perubatan Sunway (SMC) memperkenalkan empat robot canggih, BellaBot bagi menceriakan lagi wad pediatrik dan hospital berkenaan.
Robot canggih 'pekerja ala kucing' yang pertama seumpamanya di negara ini itu akan membantu menghantar makanan tiga kali sehari kepada pesakit kanak-kanak dan penjaga mereka untuk makan tengah hari, minum petang serta makan malam.
BellaBot mempunyai rak empat tingkat untuk menempatkan dulang makanan serta dilengkapi dengan fungsi penghantaran yang boleh disesuaikan.
Di samping sistem navigasi untuk membolehkannya bergerak dengan selamat di sekitar wad dan juga berhampiran kakitangan lain.
Apabila tidak bertugas menghantar makanan, BellaBot mampu memberikan keceriaan kepada pesakit melalui fungsi 'mod hari jadi,' yang menyaksikannya menghantar kek hari jadi sambil diiringi lagu hari jadi yang menghiburkan.
Selain daripada tugasnya di wad pediatrik, BellaBot juga boleh dilihat di lobi hospital sebagai Duta Lobi untuk membantu pelawat mencari arah di sekitar hospital.
Buat masa sekarang, robot canggih itu dikendalikan dalam dua bahasa iaitu Bahasa Inggeris dan Mandarin, selain berpotensi menambah lebih banyak lagi bahasa pada masa akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Perubatan Sunway, Bryan Lin berkata, pihaknya berbesar hati untuk menjadi hospital pertama di Malaysia yang menggunakan teknologi BellaBot.
Kejayaan itu hadir tepat pada masanya selepas diiktiraf sebagai Syarikat Hospital Pintar Tahun 2021 oleh Frost & Sullivan, dua bulan lalu.
"Dalam menghadapi cabaran Covid-19, kami komited untuk terus mencari kaedah inovatif bagi meningkatkan pengalaman pesakit di samping mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan mereka.
"Potensi kegunaan BellaBot sangat besar dan itu hanyalah permulaan.
"Kehadiran teknologi pintar seperti BellaBot dapat membantu kakitangan memberi perhatian terhadap penjagaan pesakit, memenuhi lonjakan kapasiti ketika keperluan memuncak sekaligus meningkatkan kecekapan operasi secara keseluruhan," katanya.
Sementara itu, Pengurus Perkhidmatan Makanan Pusat Perubatan Sunway, Joanne Leow pula berkata, pasukannya mengalukan-alukan kaedah digital dalam mengendalikan perkhidmatan makanan, serta proses mengadaptasi anggota pasukan robot baharu itu dalam memenuhi keperluan hospital dan pesakit.
BELLABOT, robot canggih yang disediakan SMC untuk membantu operasi dan menceriakan wad pediatrik hospital berkenaan.
"Kami gembira disediakan kemudahan menggunakan BellaBot untuk menghantar makanan kepada pesakitdi wad.
"Kini, Bella adalah sebahagian daripada pasukan kami."
"Diharapkan, teknologi ini menjadi batu loncatan ke arah lebih banyak lagi kaedah integrasi untuk berkhidmat dan menjaga pesakit dengan pengalaman yang serba baharu," katanya.
SMC dalam pada itu turut komited dalam pelaburan yang mengintegrasikan teknologi hospital pintar dalam automasi proses robotik dan melaksanakan pelbagai inisiatif.
Ia untuk meningkatkan prosedur operasi standard bagi kecekapan operasi, peralatan perubatan yang terkini, perkhidmatan penjagaan maya, pesanan makanan pesakit yang disesuaikan dan tempahan janji temu dalam talian.
Pada Mac 2020 ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama, pusat perubatan itu bekerjasama dengan Sunway iLabs untuk membina Pod Pengujian Covid-19 tanpa sentuhan untuk membolehkan pekerja kesihatan menjalankan ujian terhadap kes yang disyaki dalam persekitaran yang lebih selamat.
Bukan itu sahaja, pada Januari tahun ini SMC menubuhkan Pusat Kawalan Teleperubatan 24 jam pertama negara, untuk membolehkan pesakit terus mendapatkan rundingan doktor dan pakar dari kediaman mereka.
Pada Mac lalu, pusat perubatan itu juga dijadikan sebagai Pusat Vaksinasi Covid-19 untuk Fasa 1 bagi Program Imunisasi Nasional yang menguruskan pemberian vaksin kepada petugas barisan hadapan perubatan di 12 hospital swasta. Hospital terbabit kini berada pada Fasa 3 program di bawah Protect Health dan terus berkhidmat untuk kemudahan rakyat sebagai Pusat Pemberian Vaksin Hospital Swasta (PPVHS).
Pada Jun pula, SMC mengambil alih operasi di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid yang dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega untuk menjalankan vaksinasi kepada ribuan rakyat setiap hari bagi membantu negara dalam mencapai
imuniti kelompok.
Sumber: https://www.hmetro.com.my/WM/2021/08/742288/bellabot-ceriakan-pesakit