Sediakan robot di semua hospital kerajaan

2021-08-17 | Utusan Malaysia


SAUDARA PENGARANG, 


SAYA ingin mengucapkan syabas kepada Pusat Perubatan Sunway di Petaling Jaya, Selangor yang baru-baru ini menjadi hospital pertama di Malaysia memperkenalkan BellaBot, iaitu robot berbentuk kucing untuk kemudahan pesakit.


BellaBot akan menghantar sendiri makanan kepada pesakit kanak-kanak dan penjaga mereka, tiga kali sehari.


Robot yang mempunyai empat rak untuk menempatkan dulang makanan itu turut dilengkapi sistem navigasi yang membolehkannya menghantar sendiri makanan, selain mampu mengelak halangan di hadapannya.


Selain menghantar makanan, mengambil semula dulang makanan dan sebagai penunjuk arah jalan, BellaBot turut digunakan untuk menghantar ubat-ubatan kepada pesakit.


Langkah meminimumkan penggunaan manusia secara tidak langsung dapat mengurangkan penularan pandemik Covid-19.


Difahamkan kos keseluruhan untuk membeli empat BellaBot daripada syarikat pengeluar utama robot dunia dari China, Shenzhen Pudu Technology Co. Ltd. tidak terlalu mahal iaitu kira-kira RM250,000.


Saya berharap lebih banyak hospital di negara ini beralih menggunakan robot. 

Pada masa sama, pembelian robot dari China itu harus disertakan syarat untuk membangunkan kepakaran syarikat tempatan dalam bidang teknologi robot.


Perkara ini boleh dibuat jika kerajaan sendiri membeli robot berkenaan untuk kegunaan hospital awam di seluruh negara.


Dengan bantuan syarikat tempatan, BellaBot yang kini hanya boleh dikendalikan menggunakan bahasa Inggeris dan Mandarin boleh ditambah bahasa khususnya bahasa Melayu.


MALEK NORDIN, Kepala Batas, Pulau Pinang.


Sumber: https://www.utusan.com.my/rencana/forum/2021/08/sediakan-robot-di-semua-hospital-kerajaan/