BellaBot atau robot ‘kucing’ ini merupakan robot pertama buat julung kali dalam industri penjagaan kesihatan di Malaysia.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Perubatan Sunway, Bryan Lin, teknologi pintar ini dapat membantu kakitangan hospital dalam memberi tumpuan kepada penjagaan pesakit dan meningkatkan kecekapan operasi terutamanya ketika pandemik.
BellaBot ditugaskan di wad pediatrik dan ia juga berfungsi membantu pengunjung mencari arah di sekitar hospital ketika di lobi.
Keceriaan kepada pesakit pasti terserlah dengan fungsi ‘mode ulang tahun’ dan robot ini boleh menyampaikan kek hari jadi serta menyanyi lagu ulang tahun.
“Kami gembira menjadi hospital pertama di Malaysia yang menggunakan teknologi BellaBot. Ini juga tepat pada masanya setelah diiktiraf sebagai Syarikat Hospital Teknologi Pintar Tahun 2021 Frost & Sullivan dua bulan yang lalu,” katanya
Menurut Pengurus Perkhidmatan Makanan, Joanne Leow, beliau turut memperkenalkan Bella dan berkongsi pengalaman pasukan dalam penggunaan teknologi pintar terbaru itu.
“BellaBot ini dapat berfungsi sama ada terdapat jaringan internet mahupun tidak dan setakat ini, kami telah menguji beberapa kali, dan tidak ada gangguan antara alatan perubatan di sepanjang proses ini,” katanya.
Tambahnya, kemudahan untuk menempatkan dulang bagi penghantaran makanan juga disediakan robot ini selain sistem navigasi untuk memudahkannya bergerak dengan selamat di sekitar wad.
Menariknya, kemahiran bertutur dalam bahasa Inggeris dan Mandarin juga disertakan robot ini dan pelbagai penambahan bahasa akan ditambah di masa akan datang.
Sumber: https://era.je/interaktif/trending/robot-kucing-bantu-pesakit-di-hospital