KUALA LUMPUR: Untuk menceriakan suasana wad Pediatrik, selain usaha mencegah jangkitan COVID-19 ketika ini, Pusat Perubatan Sunway memperkenalkan BellaBot iaitu robot berbentuk kucing.
BellaBot adalah robot yang boleh menghantar sendiri makanan kepada pesakit kanak-kanak dan penjaga mereka, tiga kali sehari.
Robot yang mempunyai empat rak untuk menempatkan dulang makanan itu turut dilengkapi sistem navigasi yang membolehkan ia menghantar sendiri makanan, selain mampu mengelak halangan di hadapannya.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Perubatan Sunway, Bryan Lin, berkata ketika ini pihaknya menjadi hospital pertama di Malaysia yang menggunakan teknologi robot itu.
Katanya, usaha itu bertepatan selepas menerima anugerah Hospital Pintar Malaysia 2021 oleh Frost & Sullivan dua bulan lalu.
"Berikutan negara berdepan pandemik COVID-19, kami berusaha mencari kaedah inovatif untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pesakit dan pada masa sama memastikan keselamatan mereka terjamin.
"Sebagai permulaan, sebanyak empat BellaBot diperkenalkan dengan kos keseluruhan berjumlah RM250,000," katanya pada sidang media yang diadakan secara maya, hari ini.
Bryan berkata, penggunaan teknologi yang semakin mendapat tempat itu juga dapat membantu meringankan beban kakitangan sedia ada.
Selain itu katanya, kakitangan dapat memberi lebih tumpuan kepada penjagaan pesakit terutama ketika waktu puncak sekali gus membantu meningkatkan kecekapan operasi secara keseluruhan.
"Ketika ini Bellabot ditempatkan di wad Pediatrik serta di lobi untuk membantu orang ramai mencari arah jalan di dalam kawasan hospital, namun pada masa akan datang ia turut akan ditempatkan di wad lain pula," katanya.
Sementara itu, Pengurus Bahagian Makanan dan Perkhidmatan Pusat Perubatan Sunway, Joanne Leow, berkata pihaknya berbesar hati apabila disediakan kemudahan yang berteknologi tinggi itu.
Malah, katanya, Bellabot amat mudah untuk dikendalikan dan diterima baik semua kakitangan terutama pesakit kanak-kanak kerana ia dapat menceriakan mereka.
"Bellabot kini menjadi sebahagian keluarga kecil kami di bahagian ini kerana ia banyak membantu kami dalam urusan penghantaran makanan kepada pesakit," katanya.
Bellabot yang mula digunakan minggu ini, boleh dikendalikan menggunakan dua bahasa iaitu Bahasa Inggeris dan Mandarin.
Selain digunakan untuk menghantar makanan, mengambil semula dulang makanan dan sebagai penunjuk arah jalan, Bellabot turut digunakan untuk menghantar ubat-ubatan kepada pesakit.
Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/08/849966/robot-hantar-makanan-kepada-pesakit-kanak-kanak