Wow, Hebat! Sunway Medical Centre Dah Guna Robot Untuk Layan Pesakit

2021-08-12 | https://rileklah.com/

Jika di luar negara, penggunaan robot di premis kilang, restoran dan pusat beli-belah sememangnya suatu perkara biasa.


Tetapi di Malaysia -- Pusat Perubatan Sunway, Petaling Jaya, Selangor muncul sebagai industri penjagaan kesihatan pertama di negara ini yang menggunakan robot dan dikenali dengan nama 'BELLABOT'!


Selain menjalankan tugas di Wad Pediatrik, BellaBot juga dapat dilihat di lobi pusat perubatan berkenaan bagi membantu pengunjung mencari arah di sekitar hospital.


Di samping itu, BellaBot turut berperanan memberikan keceriaan kepada pesakit melalui fungsi ‘mode ulang tahun’ dengan menyampaikan kek hari jadi disertai nyanyian lagu ulang tahun yang menghiburkan.


BellaBot ini juga disediakan kemudahan untuk menempatkan dulang bagi penghantaran makanan dan sistem navigasi yang membolehkannya bergerak dengan selamat di sekitar wad.


Lebih istimewa, robot ini juga boleh bertutur dalam bahasa Inggeris dan Mandarin serta turut berpotensi untuk penambahan bahasa lain lagi di masa akan datang.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Perubatan Sunway, Bryan Lin -- kemunculan teknologi pintar ini membantu kakitangan hospital untuk memberi tumpuan kepada penjagaan pesakit dan meningkatkan kecekapan operasi, khususnya ketika pandemik.


"Kami gembira menjadi hospital pertama di Malaysia yang menggunakan teknologi BellaBot. Ini juga tepat pada masanya setelah diiktiraf sebagai Syarikat Hospital Teknologi Pintar Tahun 2021 Frost & Sullivan dua bulan yang lalu.


"Dengan cabaran yang dihadapi semasa pandemik COVID-19, kami komited untuk terus mencari kaedah inovatif bagi meningkatkan kemudahan pesakit kami sambil menjaga keselamatan dan kesejahteraan mereka sebagai inisiatif utama," katanya ketika demonstrasi secara maya menerusi aplikasi Microsoft Team untuk memperkenalkan teknologi robot pintar terbaharu itu pada 11 Ogos lalu.

Sementara itu, Pengurus Perkhidmatan Makanan, Joanne Leow turut memberi demonstrasi secara langsung untuk memperkenalkan Bella dan berkongsi pengalaman pasukan dalam penggunaan teknologi pintar terbaru itu.


"BellaBot ini dapat berfungsi sama ada terdapat jaringan internet mahupun tidak dan setakat ini, kami telah menguji beberapa kali, dan tidak ada gangguan antara alatan perubatan di sepanjang proses ini," katanya.




Sumber: https://rileklah.com/tarikan/wow-hebat-sunway-medical-centre-dah-guna-robot-untuk-layan-pesakit